Bengkel Pembangunan Manual Kualiti Unit-unit Jabatan Premier Sarawak Diadakan di Sibu

Disiarkan pada 06 Oct 2025
Sumber Berita: Edisi UKAS
SIBU - Seramai 35 pegawai dari pelbagai Unit di bawah Jabatan Premier Sarawak (JPS) telah menyertai Bengkel Pembangunan Manual Kualiti MS ISO 9001:2015 Unit-unit Jabatan Premier Sarawak yang diadakan di Tanahmas Hotel, Sibu, bermula pada 23 sehingga 25 September 2025 anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) dengan kolaborasi bersama SIRIM Academy SDN BHD. Bengkel selama tiga hari ini bertujuan untuk memperkasa dan menyelaraskan sistem pengurusan kualiti dalam setiap unit JPS bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

​Bengkel ini merupakan inisiatif penting Jabatan Premier Sarawak dalam usaha berterusan untuk mencapai piawaian kerja yang lebih tinggi dan meningkatkan kecekapan operasi. Sepanjang bengkel, para peserta telah didedahkan dengan metodologi terkini dalam pembangunan manual kualiti, termasuk amalan terbaik dari agensi awam lain yang telah berjaya melaksanakannya.

​Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah:
i.​ Piawaian MS ISO 9001:2015
ii. Pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP)
iii. ​Pengurusan risiko
​iv. Penambahbaikan berterusan

Para peserta juga diberi peluang untuk berbincang secara langsung dan berkongsi pandangan mengenai cabaran serta penyelesaian dalam merangka manual kualiti yang efektif dan relevan dengan skop kerja masing-masing.

Dengan adanya bengkel ini, dijangkakan setiap unit di bawah Jabatan Premier Sarawak akan mempunyai manual kualiti yang seragam dan berfungsi sebagai panduan rujukan utama dalam melaksanakan tugas harian. Ini selaras dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menjadi sebuah kerajaan yang berprestasi tinggi dan berinovasi. - Edisi UKAS