News

 

Pesta Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Berlangsung 13-15 September Ini

Posted on 09 Jun 2024
Source of News: UKAS




KUCHING: Pesta Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Edisi Hari Malaysia bakal berlangsung selama dua hari bertempat di Kampung Budaya Sarawak bermula dari 13 hingga 15 September 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pemilihan venue di Kampung Budaya Sarawak pada edisi kali ini adalah amat sesuai.

“Tempat ini sesuai dengan representasi asli negeri kita yang mempunyai pelbagai budaya, ia juga menyediakan latar belakang yang sempurna untuk pelbagai perayaan.

“Semua kawasan dalam kampung ini nanti akan diaktifkan termasuk rumah tradisional untuk mewujudkan sebuah pengalaman budaya dan gastronomi yang mengasyikkan kepada semua pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pesta Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Edisi Hari Malaysia, di Kampung Budaya Sarawak, pada Ahad.

Ahli Parlimen Santubong itu menambah, pesta itu perlu dipromosikan supaya lebih ramai pelancong datang untuk memberi manfaat dari segi ekonomi khususnya.

“Kita perlu promosi supaya orang melihat bahawa Kampung Budaya kita masih baik dan kita mahu bersedia untuk menerima pelancong terutamanya. Jadi ini adalah ekonomi yang baik, bukan sahaja untuk Kuching tetapi untuk hubungan budaya, tempat-tempat berdekatan.

“Kerana kita tahu Sarawak terutamanya Kuching telah menjadi bandar kreatif di bawah UNESCO, untuk gastronomi, jadi ini adalah kesinambungan daripada apa yang telah kita lakukan sebelum ini,”ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datu Ismawi Ismuni.-EDISI UKAS