News

 

Kekalkan Identiti Asal Rumah Panjang BiPuot

Posted on 09 Jun 2024
Source of News: UKAS




BAU: Rumah panjang BiPuot di kampung Barieng disaran untuk mengekalkan identiti asal rumah panjang tradisonal agar tidak lenyap di daerah ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, keaslian hasil bina dan reka bentuk yang terdapat di rumah panjang itu harus dikekalkan supaya menjadi satu warisan dan tarikan kepada pengunjung luar.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada program Sambutan Ulangtahun ke-50 Rumah Panjang BiPuot (Barieng) Singai di sini pada Sabtu.

Turut hadir program adalah Pegawai Daerah Bau, Constantine Gerald David Jonas dan Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Shimon Belenko William.

Dalam pada itu, beliau memberitahu penduduk di rumah panjang berkenaan bahawa pihaknya akan membuat permohonan sebanyak RM200,000 daripada UNIFOR untuk membina siling dan tandas.

Permohonan tersebut selaras dengan cadangan beliau supaya rumah panjang tersebut juga dijadikan sebagai inap desa bagi memberi pengalaman orang luar merasai tinggal di Rumah Panjang Bidayuh BiSingai.

Program Sambutan Ulangtahun ke-50 Rumah Panjang BiPuot (Barieng) Singai yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Gawai disamping menghayati warisan tradisional Bidayuh di rumah panjang tersebut.

Hadir sama pada program adalah Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop, Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau Robert Tom Juin, Penghulu Kawasan Singai Morris John Siren, Ketua Kaum Kampung Barieng Felix Runya dan Pengerusi Pewaris Adat Asal Singai (PA'AS) Edid Ngupel. -EDISI UKAS