News

 

Program-Program 'Benchmarking' JBPM Sarawak Dapat Perhatian Peringkat Kebangsaan

Posted on 30 May 2024
Source of News: UKAS





KUCHING: Program-program penanda aras atau 'benchmarking' yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mendapat perhatian di peringkat kebangsaan.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datu Khiruddin Drahman berkata, ini merupakan bukti yang jelas akan potensi besar anak-anak Sarawak dan kebolehan mereka dalam memberi impak positif kepada komuniti.

Ujarnya, ia juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen serta usaha JBPM Sarawak untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesediaan menangani isu kebakaran dalam kalangan masyarakat.

"Hasil daripada anak-anak Sarawak ini boleh dikembangkan untuk kesejahteraan dan kebaikan komuniti.

"Kita melihat kepada statistik harta yang diselamatkan, yang mana jelas terbukti akan keupayaan dan juga kebolehan komuniti kita dalam menangani isu insiden kebakaran dengan cukup baik.

"Sekiranya program ini diteruskan, Insya-Allah kita dapat menjamin satu kumpulan komuniti yang berdaya tahan menghadapi bencana," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Menurut Datu Khirudin, kunjungan tersebut juga bagi memaklumkan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari berkenaan pertukaran dan kenaikan pangkat beliau sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya.

Jelasnya lanjut, jawatan Pengarah JBPM Negeri Sarawak buat masa ini akan dipangku oleh Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii sehingga jawatan hakiki diisi.

"Saya ingin berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan Sarawak, Ahli-ahli kehormat dan juga Ketua-ketua Komuniti yang sentiasa menyokong usaha JBPN Sarawak dalam memperkasakan komuniti ke arah daya tahan dan saya harap dapat dikekalkan supaya dapat menjamin keselamatan diri, keluarga dan masyarakat," ujar beliau.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah PPjB Tiong Ling Hii, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Henderi Ardimansyah serta Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Mohamad Fauzi Mohamat Kifli.-Edisi UKAS