News

 

LPNM & Kolej Universiti I-CATS Meterai MoU, Tingkatkan Industri Nanas Di Sarawak

Posted on 30 May 2024
Source of News: UKAS




KUCHING: Satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Kolej Universiti I-CATS telah termeterai bagi mewujudkan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak.

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pihaknya bersama Kolej Universiti I-CATS bersetuju untuk berkerjasama dalam penyelidikan, pertukaran maklumat dan kemahiran teknikal khususnya berkaitan industri nanas di negeri ini.

"Ini semua adalah dalam kerangka kita di peringkat industri nanas Malaysia untuk mengukuhkan industri nanas di negeri ini, yang mana pada ketika ini Sarawak menduduki tempat kedua keluasan tanaman, hampir 3 ribu hektar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas MoU tersebut dimeterai menerusi kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Sheikh Umar menambah, pihaknya juga berpeluang mengadakan perbincangan serta bertukar pandangan bersama Datuk Patinggi Abang Zohari berhubung potensi pembangunan nanas di Sarawak.

"Premier Sarawak pernah menyatakan komitmen untuk mengembangkan tanaman nanas di Sarawak sehingga 20 ribu hektar menjelang tahun 2030, jadi di peringkat kami, kita sangat teruja dan berterima kasih.

"Oleh itu, kita menyatakan kesanggupan dan kesediaan kita untuk memberi segala usaha dan juga bantuan terutamanya di peringkat agensi untuk membantu hasrat negeri ini," jelasnya lanjut.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga merupakan Canselor Kolej Universiti ICATS menyaksikan pemeteraian MoU tersebut yang ditandatangani oleh Sheikh Umar dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh bersama Naib Canselor I-CATS, Professor Dr Shahren Tun Ahmad Zaidi Adruce dan Pro Naib Cancellor (Industri, Komuniti dan Pengkomersilan), Professor Madya Leo Sing Lim.
Turut serta ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Pengarah LPNM Wilayah Timur Mohammad Suffian Sahmat.

LPNM merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perindustrian Nanas 1957 (Akta 427), manakala Kolej Universiti I-CATS merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Sarawak.-Edisi UKAS