News

 

KMKK Disaran Buat Profil Kampung Untuk Laporan Pembangunan

Posted on 23 May 2024
Source of News: UKAS




PUSA: Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) disaran untuk membuat profil kampung bagi memudahkan untuk mendapatkan maklumat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, profil kampung merangkumi jumlah penduduk, ketua isi rumah, pekerjaan dan pelan pembangunan yang dicadangkan serta projek yang telah dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Ujarnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) yang ditubuhkan di kampung ataupun di rumah panjang hendaklah mendaftarkan kepada pejabat daerah masing-masing untuk memudahkan urusan kerajaan ke kawasan itu.

Selain itu, KMKK turut disarankan untuk membuat laporan perkembangan projek siap atau projek yang belum dilaksanakan kepada pejabat daerah untuk perkembangan status projek tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perjumpaan bersama KMKK bagi membincangkan Majlis Pra gawai dan Pembangunan Ekonomi di bawah Program Kesejahteraan Komuniti Madani di Dewan Al Amin Beladin, Pusa pada Rabu.

Hadir sama Penghulu Zon Beladin, Pusa Mahbang Lebek, Penghulu Kampung Semarang, Spinang dan Batang Maro Musa Zin, Pegawai Khas kepada ADUN Beting Maro Awang Sarbini Gapor, Kaunselor Zon Beladin Rosli Uji dan KMKK Kawasan Beting Maro.-EDISI UKAS