KUCHING, 24 Mei 2025 – Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah menyerahkan sebanyak lapan kotak pakaian “pre-loved” kepada Projek Infak Baju Raya Al Bait dalam satu majlis penyerahan ringkas yang diadakan di Kuching, hari ini.
Sumbangan tersebut merangkumi pelbagai jenis pakaian yang sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak, dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) STIU. Usaha ini mencerminkan komitmen jabatan dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya menjelang musim perayaan.
Majlis tersebut telah dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Al Bait, yang menyatakan penghargaan atas sumbangan berkenaan dan menekankan manfaatnya kepada masyarakat.
“Projek Infak ini merupakan satu inisiatif kebajikan yang sering dikunjungi masyarakat setempat yang memerlukan pakaian raya tanpa sebarang kos,” kata wakil yayasan berkenaan.
Pengarah STIU, Encik Superi Awang Said berkata inisiatif tersebut mencerminkan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam perkhidmatan awam serta menyemai semangat empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kerja.
“Sumbangan ini mungkin kecil, namun besar maknanya kepada mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. Diharapkan ia dapat membawa senyuman dan kegembiraan kepada para penerima,” ujarnya dalam kenyataan.
STIU komited untuk terus melaksanakan program CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat, sejajar dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah perkhidmatan yang inklusif dan prihatin.