KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak, telah berjaya melaksanakan Program Pemerkasaan Panel Penilai Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025 yang berlangsung selama empat hari.
Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan panel penilai dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam menilai agensi kerajaan.
Fokus utama program ini adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai pendekatan penilaian yang holistik.
Elemen penting seperti ‘Malaysia Business Excellence Framework’ (MBEF) turut diterapkan bagi memastikan proses penilaian yang menyeluruh dan berkualiti.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap aspek audit kualiti perkhidmatan, pematuhan prinsip tadbir urus yang baik, serta pembangunan komuniti dan kelestarian agensi pada masa depan.
Pengarah STIU, Superi Awang Said, menyatakan bahawa pelaksanaan elemen Business Excellence ini menjadikan AKPANS setaraf dengan sistem penilaian antarabangsa yang digunapakai di 84 negara.
“Pemerkasaan panel penilai menjamin ketelusan pemilihan penerima anugerah dan mendorong penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam,” katanya.
STIU turut merakamkan penghargaan kepada 48 orang panel penilai atas dedikasi dan profesionalisme mereka sekaligus mencerminkan komitmen Perkhidmatan Awam Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Difahamkan, AKPANS 2025 akan bermula pada 8 April 2025 dengan taklimat kepada agensi yang terlibat, diikuti dengan penilaian kendiri, audit desktop, pembentangan, serta lawatan tapak.