STIU Terima Pengiktirafan Good Practice Achiever MBEF

Disiarkan pada 22 Jan 2025
Sumber Berita: Edisi UKAS
KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak telah menerima pengiktirafan sebagai Good Practice Achiever di bawah pensijilan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF).

Pengiktirafan ini mencerminkan usaha STIU dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan awam, meningkatkan produktiviti dan daya saing Kerajaan Sarawak melalui inisiatif transformasi serta inovasi.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, sijil tersebut diterima oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki semasa sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Zahid Ismail.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Pengarah STIU Superi Awang Said bersama pegawai-pegawai kanan dari MPC dan Jabatan Premier Sarawak.

Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pengiktirafan sebagai Good Practice Achiever di bawah pensijilan MBEF adalah satu pencapaian bermakna dalam usaha STIU melaksanakan amalan kecemerlangan organisasi.

"Perkhidmatan Awam Sarawak akan terus komited untuk memastikan transformasi dan inovasi menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif.

“Selain daripada MBEF, kaedah pengukuran transformasi organisasi yang diamalkan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak seperti Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) dan SCS Scorecard turut mewujudkan persaingan sihat di kalangan agensi-agensi ke arah penambahbaikan secara berterusan,” ujarnya.

Menurutnya, ianya secara tidak langsung dapat menjamin pencapaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam mencapai teras strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) iaitu ‘Ease of Doing Business’.

“Pengiktirafan ini mencerminkan pendekatan strategik STIU dalam memperkasakan penyampaian Perkhidmatan Awam Sarawak secara berstruktur yang selaras dengan PCDS 2030 bertujuan untuk memperkukuhkan visi Sarawak dalam pembangunan mampan dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Superi menjelaskan bahawa MBEF ialah rangka kerja yang disesuaikan dalam konteks Malaysia, berasaskan piawaian antarabangsa seperti Baldrige Excellence seiring dengan amalan terbaik global untuk memastikan organisasi mencapai standard tinggi.

Tambahnya, pendekatan MBEF yang bersifat pengukuran prestasi secara berterusan ini sangat menitikberatkan kaedah ADLI yang berdasarkan empat elemen utama iaitu pendekatan (Approach), pelaksanaan (Deployment), pembelajaran (Learning) dan integrasi (Integration) untuk memastikan keberkesanan dan kesinambungan amalan baik organisasi.