Pemantapan Kriteria AKPANS 2025: Langkah Strategik Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan Awam

Disiarkan pada 20 Dec 2024
Sumber Berita: Edisi UKAS


KUCHING: Panel penilai Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) kini bersiap sedia untuk menghadapi proses penilaian edisi 2025 dengan mengadakan sesi suai kenal dan pengenalan kriteria baharu.

Inisiatif ini bertujuan menyeragamkan pemahaman panel terhadap standard penilaian, sekaligus memastikan kecemerlangan perkhidmatan sektor awam Sarawak.

Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said menekankan bahawa AKPANS adalah simbol komitmen kerajaan dalam memacu inovasi dan tadbir urus terbaik.

“Anugerah ini bukan sahaja mengukur prestasi, tetapi juga menjadi pemangkin untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan,” ujarnya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Dengan panel penilai yang terdiri daripada wakil sektor awam, swasta dan pesara kerajaan, sesi ini memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus dan profesional.

Pelaksanaan AKPANS melibatkan enam peringkat utama, dirancang dengan teliti untuk menjamin keadilan dan integriti sepanjang proses berlangsung.

Langkah strategik ini menunjukkan kesungguhan Sarawak dalam mengekalkan kecemerlangan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam bagi manfaat rakyat.