Buku Prinsip 3R Perkhidmatan Awam Sarawak Dilancarkan

Posted on 20 Nov 2025
KUCHING: Buku Prinsip 3R Perkhidmatan Awam Sarawak telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis.

Menurut Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), penerbitan buku berkenaan membawa mesej utama 3R (Revisit, Rethink, Recharge) yang menjadi asas kepada budaya penambahbaikan berterusan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.

“Perkhidmatan Awam Sarawak sedang menerima pakai cara berfikir baharu melalui pendekatan 3R (Revisit, Rethink, Recharge), yang direka untuk menggiatkan semula tadbir urus, meningkatkan kecekapan dan memacu perubahan yang bermakna,” kata STIU dalam kenyataan media pada Khamis.

Buku berkenaan disusun dalam tiga bab utama yang menghimpunkan pengalaman, pendekatan praktikal dan kejayaan transformasi Perkhidmatan Awam Sarawak.

Bab 1 mengangkat kisah bagaimana idea-idea berani diubah menjadi tindakan yang bermakna melalui pendekatan 3R, yang memberi inspirasi kepada transformasi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak dan membentuk masa depan yang lebih cerah untuk semua orang.

Sementara itu, Bab 2 menerangkan mengenai pendekatan 3R yang menjadi alat praktikal untuk bertindak. Dengan mengkaji semula sistem sedia ada, memikirkan semula penyelesaian dan mengukuhkan kapasiti institusi dan komuniti, sektor awam Sarawak sedang berkembang menjadi sektor yang responsif, dipacu data dan tertumpu pada impak jangka panjang.

Bab 3 pula menonjolkan kisah kejayaan dengan refleksi daripada pemimpin agensi dan suara komuniti yang mana ia memberikan
pandangan tentang bagaimana usaha berasaskan 3R telah menambah baik kehidupan, perkhidmatan dan sistem, sekaligus menunjukkan bagaimana idea-idea baharu, kepimpinan yang kukuh dan kerjasama terus membentuk Sarawak yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

Selain itu, buku tersebut turut memaparkan petikan Premier Sarawak yang menegaskan kepentingan usaha meninjau semula asas, memperbaharui strategi, dan memperkukuh institusi untuk memberi impak sebenar dan berpanjangan kepada Sarawak dan rakyat.-EDISI UKAS