AKPANS 2025 Pemacu Utama Peningkatan Tadbir Urus & Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak

Posted on 20 Nov 2025
KUCHING: Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025 terus muncul sebagai pemacu utama peningkatan tadbir urus dan inovasi dalam perkhidmatan awam apabila keputusan rasmi diumumkan sempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2025.
Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said berkata, penilaian tahun ini memberi tumpuan kepada lima dimensi utama iaitu kepimpinan strategik, penyelarasan operasi, inovasi dan teknologi, keberkesanan pelaksanaan serta impak kepada rakyat.
Menurutnya, setiap agensi dikehendaki mengemukakan laporan akhir yang komprehensif, diikuti pembentangan serta proses verifikasi bukti secara sistematik.
“Panel penilai dilantik daripada pelbagai latar belakang merangkumi pentadbiran awam, pengurusan strategik, pembangunan organisasi dan transformasi digital.
“Pendekatan ini memastikan penilaian bukan sahaja adil tetapi juga sejajar dengan keperluan semasa perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Superi turut memaklumkan bahawa AKPANS 2025 menunjukkan perkembangan ketara dalam aspek tadbir urus, khususnya peningkatan penggunaan data dalam membuat keputusan, penerapan teknologi bagi memperkemas proses serta keupayaan mengukur impak program dengan lebih tepat.
Beliau menambah, pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink, Recharge terus menjadi asas kepada penambahbaikan kitaran penilaian, sekali gus menggalakkan agensi menilai keberkesanan proses, merombak strategi yang kurang relevan dan memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi.
Katanya lagi, segmen penyampaian anugerah dalam HPA 2025 merangkumi pelbagai kategori yang mencerminkan kepelbagaian fungsi agensi kerajaan dan penyertaan mencatat peningkatan yang sangat signifikan dengan 171 agensi melibatkan Badan Berkanun Sarawak dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi Persekutuan, Unit dibawah Jabatan Premier Sarawak, Jabatan, Pentadbiran Bahagian serta Kementerian.
Keterlibatan luas ini, menurutnya, mengukuhkan lagi peranan AKPANS sebagai pemacu produktiviti, inovasi dan tadbir urus progresif dalam sektor awam negeri.
Justeru, beliau menyimpulkan bahawa keseluruhan pencapaian AKPANS 2025 menjadi indikator jelas terhadap kesiapsiagaan sektor awam Sarawak untuk terus bergerak kehadapan dalam mendokong hala tuju pembangunan di bawah Strategi Pmebangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.-EDISI UKAS