Pelantikan Ketua Pegawai Transformasi Tingkat Kecekapan Perkhidmatan Awam
Posted on 11 Nov 2025
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini dalam proses melantik Ketua Pegawai Transformasi (CTO) di setiap kementerian bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif perubahan dan inovasi dalam perkhidmatan awam negeri.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, berkata pelantikan tersebut akan dimulakan di Jabatan Premier Sarawak sebelum diperluaskan ke agensi-agensi lain di bawah kerajaan negeri.
“Kita dalam proses melantik CTO dalam kementerian, bermula dari Jabatan Premier Sarawak dahulu dan seterusnya akan diperluaskan kepada agensi-agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sinergi Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) 2025, di sini pada Selasa.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pada tahun 2025, STIU telah melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memperkukuh budaya inovasi dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam negeri.
Antaranya termasuk penganjuran One Team Retreat (OTR) di Singapura yang memperkukuh semangat kepimpinan dan kolaborasi, serta pelaksanaan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan jabatan dan agensi kerajaan.
Selain itu, inisiatif Key Focus Area (KFA) 2.0 turut memberi tumpuan kepada pengukuhan amalan Good Regulatory Practice (GRP) dan Ease of Doing Business (EODB) dengan menekankan pengurangan karenah birokrasi, penyemakan semula proses kerja dan peraturan bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing pentadbiran negeri.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan serta Pengarah STIU Superi Awang Said.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee