Klinik Kesihatan Serian Baharu Lebih Lengkap, Beri Perkhidmatan Lebih Baik Kepada Masyarakat

Disiarkan pada 30 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Klinik Kesihatan Serian yang baharu akan dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan moden bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien untuk masyarakat setempat.

Seiring dengan pembangunan ini, satu sesi ‘town hall’ diadakan pada Jumaat bagi mendapatkan kelulusan penutupan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Klinik Komuniti (KKOM), serta pemindahan Jabatan Pesakit Luar (JPL) dari Hospital Serian ke Klinik Kesihatan yang baharu.

Sesi tersebut dihadiri oleh Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, dan ADUN Bukit Semuja, John Ilus, serta Pegawai Kesihatan Bahagian Serian, Dr. Majorie Ensayan Junting.

Dalam pertemuan itu, Dr. Majorie berkata selain mendapatkan kelulusan, sesi ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai operasi Klinik Kesihatan Serian yang akan datang, termasuk penjadualan masa operasi dan janji temu selepas penutupan tiga fasiliti utama.

Klinik Kesihatan Serian yang baharu dibina di atas tanah seluas 2.815 hektar dan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Ini termasuk blok klinik, kediaman, stor, pondok pengawal keselamatan, rumah sampah, serta kemudahan lain untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan selesa untuk penduduk.-EDISI UKAS