Jangan Persoal Keupayaan Sarawak Urus Sumber-Sumber Kekayaan

Disiarkan pada 30 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Keupayaan Sarawak untuk menguruskan sumber-sumber kekayaannya tidak harus dipersoalkan. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, Sarawak bukanlah tamak seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak.

Tegas beliau, Sarawak hanya mahu mendapatkan haknya seperti yang diperuntukkan undang-undang negara.

"Kalau hasil Sarawak bertambah, hasil tersebut akan dikembalikan kepada rakyat untuk membangunkan Sarawak seperti RM1.5 bilion yang
diluluskan untuk projek-projek SADA.

"Adakah salah untuk rakyat di Sri Aman membangun seperti kawasan-kawasan lain yang sudah maju? Adakah salah untuk Sarawak membangun seperti negeri-negeri yang sudah maju?

"Rakyat Sarawak hanya mahu Sarawak maju dan dihormati dengan kemampuan untuk menguruskan sumber-sumber asli yang ada dan kita berhak mendapat, itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2024 yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawk, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Premier Sarawak yakin, negeri ini dapat dapat mencatatkan kutipan hasil melebihi RM14 bilion pada tahun ini.

Jelasnya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertekad untuk mempercepatkan pembangunan di Sarawak melalui kaedah-kaedah dan potensi-potensi baharu khususnya peluang-peluang dengan memberi lebih nilai kepada sumber-sumber di bawah ekonomi hijau. 

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024, Datuk Francis Harden Hollis,  Ahli Parlimen Sri Aman, Dato' Sri Doris Sophia Brodie, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024, Mahra Salleh serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS