KPWKM Prihatin Nasib 10 Keluarga Mangsa Nahas Helikopter

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menzahirkan rasa simpati dan prihatin terhadap nasib 10 keluarga nahas helikopter termasuk 
mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna yang terkorban dalam nahas insiden dua helikopter yang bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa lepas.

Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri memberitahu, kunjungan daripada pihak kementeriannya pada Jumaat adalah bertujuan untuk memberi bantuan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Kerajaan telah mengumumkan untuk memberi bantuan awal sebanyak RM10,000 dan kita daripada Yayasan Kebajikan Negara turut menyalurkan RM3,000 untuk sebuah keluarga mangsa,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi keluarga mendiang Joanna di Kampung Engkeroh, Tebakang pada petang Jumaat. 

Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, selain bantuan kewangan, antara bantuan lain yang diberikan termasuk bantuan makanan dan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mendiang sekiranya diperlukan. 

“Kita juga menawarkan khidmat kaunseling kalau diperlukan. 

“Dari masa ke semasa, kaunselor kita dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berada di Serian ini akan sentiasa menghubungi mereka,” jelasnya.

Dalam kunjungannya, beliau berkesempatan berbual serta menyantuni suami, anak dan ahli keluarga mendiang Joanna yang lain sebelum berangkat pulang. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron. -EDISI UKAS