Rombakan Baharu DID Sarawak Beri Penekanan Kepada Sistem Pengairan Pertanian

Disiarkan pada 30 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Rombakan baharu Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak akan memberi penekanan kepada sistem pengairan khusus kepada kawasan pertanian seluruh Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, DID Sarawak pada tahun ini akan dipecahkan di bawah dua kementerian iaitu Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG).

Menurut beliau, rombakan ini dibuat untuk memastikan skop kerja yang jelas yang perlu diberi penekanan oleh jabatan terbabit.

“Sebab itulah DID kita pecahkan, satu akan menyelenggara dan membangunkan parit dan tali air di kawasan bandar manakala kita akan menubuhkan satu lagi unit ini di bawah M-FICORD.

“Unit ini khas untuk membangunkan parit dan tali air di kawasan pertanian yang akan diseliakan di bawah M-FICORD oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, manakala unit di bawah MPHLG di bawah seliaan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Rakyat Mid Sadong 1 di Kampung Lubok Punggor di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana khas kepada DID yang baharu di bawah M-FICORD untuk melaksanakan tugas mereka.

“Saya sudah mengumumkan untuk yang pertanian sahaja, sebanyak RM1 bilion,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan simbolik pecah tanah Projek Rakyat: Skim Rehabilitasi Mid Sadong 1 dengan anggaran kos sebanyak RM46 juta di bawah M-FICORD dengan DID sebagai agensi pelaksananya.

Dalam pada itu, turut dilancarkan ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Lubok Punggor.

Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komodoti dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengarah DID Sarawak Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS