KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan dan tumbuhan liar dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar Miri.
Menerusi kenyataan media (SFC) pada Jumaat, rampasan kali ini dianggarkan bernilai RM15 juta, menjadikannya salah satu kejayaan terbesar dalam sejarah operasi SFC.
Kata kenyataan itu lagi, operasi itu merampas pelbagai hidupan dan tumbuhan liar yang dilindungi sepenuhnya, termasuk kayu gaharu, sisik tenggiling, hempedu beruang, kepala burung kenyalang, terumbu karang, haiwan eksotik, dan wang tunai RM42,635.
Suspek yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Miri untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Bab 26).
Dalam pada itu, Controller Hidupan Liar Sarawak memuji kejayaan ini sebagai bukti komitmen SFC dan agensi berkaitan dalam memerangi jenayah biodiversiti di negeri ini.
OBK bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar, dan eksploitasi sumber biodiversiti.
SFC menyeru orang ramai untuk melaporkan aktiviti haram berkaitan hidupan liar kepada talian hotline iaitu Kuching: 019-8859996, Sibu: 084-349455; Bintulu: 086-339842 dan Miri: 019-8290994.
Kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk memastikan khazanah alam Sarawak terus terpelihara demi generasi akan datang.-EDISI UKAS