Tengku Permaisuri Selangor Tamatkan Lawatan Empat Hari di Sarawak

Disiarkan pada 29 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, telah berlepas ke Kuala Lumpur pada jam 1 tengah hari tadi selepas lawatan empat hari yang penuh bermakna di Sarawak.

Baginda merupakan tetamu kehormat Ekspo Kraf Borneo dan Persidangan Antarabangsa 2024 (BCG2024) memeriahkan majlis perasmian dengan kehadiran diraja.

Semasa lawatan, baginda mengunjungi destinasi ikonik seperti Pusat Hidupan Liar Semenggoh untuk melihat Orang Utan Sarawak dan Songket Sarapride untuk menyaksikan keindahan tenunan tradisional.

Baginda juga sempat singgah di Kek Lapis Warisan Sdn. Bhd. dan membeli kek lapis sebagai cenderahati.

Pada acara BCG2024, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin melawat pameran kraf di Kuching Waterfront, menyokong pengusaha tempatan dengan membeli hasil kraf unik.

Selain itu, baginda turut menghadiri majlis makan malam berprestij sebagai tanda sokongan kepada industri kreatif Sarawak.

Lawatan baginda meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Sarawak, menonjolkan minat beliau terhadap budaya dan tradisi negeri ini.-EDISI UKAS