Projek Naik Taraf Saliran Lorong Belakang Rejang Park Lane 3 & 4 Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 29 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Projek menaik taraf sistem saliran di lorong belakang Rejang Park Lane 3 dan Lane 4 kini telah siap, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee.

Jelasnya inisiatif yang menelan kos RM300,000 ini merupakan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang penting di Rejang Park.

"Projek-projek ini dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan, tetapi disebabkan kecekapan kontraktor, ia disiapkan dalam tempoh dua bulan sejak kerja-kerja dimulakan pada pertengahan September," katanya kepada pemberita semasa majlis penyerahan tapak kepada Majlis Perbandaran Sibu (SMC) pada Rabu.

Beliau berkata, sebahagian daripada kerja-kerja naik taraf termasuk mendalamkan dan membaiki parit, serta pembinaan laluan pejalan kaki di sepanjang parit untuk kemudahan orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan itu menambah, sistem saliran asal yang dibina pada tahun 1970-an perlu didalamkan disebabkan perubahan iklim dan hujan lebat.

"Sasaran saya adalah untuk terus menaik taraf sistem saliran di setiap lorong Rejang Park.

"Harap bersabar sementara saya secara beransur-ansur menaik taraf semua lorong belakang, dan tidak lama lagi Rejang Park akan kurang mengalami banjir kilat," kata Tiang.

Beliau menambah bahawa lebih banyak projek RTP dirancang untuk Rejang Park, seperti menaik taraf sistem saliran, gelanggang bola keranjang SJK (C) Rejang Park dan pembinaan laluan berbumbung. -EDISI UKAS