Disiplin, Komitmen Dan Usaha Gigih Kunci Kejayaan Pelajar

Disiarkan pada 29 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Disiplin, komitmen dan usaha gigih kunci utama untuk seseorang pelajar beroleh kejayaan dalam peperiksaan, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Selain itu katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga saluran yang amat penting dalam memastikan kejayaan pelajar, disokong oleh komitmen yang kuat daripada ibu bapa dan guru untuk melahirkan generasi yang berjaya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Anugerah Kecemerlangan 2024 SMK Bandar Bintangor pada Jumaat.

Katanya, pencapaian yang diraikan itu bukan sahaja hasil daripada kecerdasan minda, tetapi juga komitmen, disiplin dan sikap positif yang ditunjukkan oleh setiap pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang sesi persekolahan.

“Majlis seperti ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan pelajar, tetapi juga sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha dan kerja keras mereka.

“Kejayaan yang diperoleh hari ini adalah bukti bahawa setiap pelajar di sini mempunyai potensi yang luar biasa, dan dengan bimbingan yang tepat serta sokongan yang padu daripada ibu bapa dan guru, mereka mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan,” katanya.

Selain itu ujarnya, majlis ini juga memberikan peluang untuk mengukuhkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa, dan masyarakat.

Justeru, beliau menyeru agar kerjasama ini diteruskan dan diperkukuhkan demi kebaikan dan masa depan anak-anak kita.

“Kejayaan ini bukanlah titik akhir, tetapi ia adalah langkah pertama menuju kejayaan yang lebih besar. Teruskan berusaha, jangan berputus asa dan jangan pernah takut untuk menghadapi cabaran.

“Setiap kesulitan yang anda hadapi adalah peluang untuk belajar dan berkembang,” tambah beliau.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad dan Pengetua SMK Bandar Bintangor, Patrick PhilIip Moss. - EDISI UKAS