MOTS & Agensi Bekerjasama Perkasa Nilai Integriti

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan agensi di bawahnya diseru untuk bekerjasama membangun dan memperkasakan nilai integriti.

Setiausaha Tetap MOTS, Dato Ir. Alice Jawan Empaling berkata, ia adalah sebagai salah satu amalan dan budaya kerja seharian.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian semasa Siri Jelajah Integriti Bersama Agensi Kementerian Pengangkutan Sarawak Tahun 2024 di Miri yang diadakan pada 24 hingga 25 April 2024.

Program anjuran MOTS dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak itu merupakan program yang pertama kali dianjurkan di mana objektifnya adalah untuk memperluaskan mesej berkaitan integriti kepada pegawai dan kakitangan MOTS dan agensi di bawah kementerian.

Selain itu, program ini juga dianjurkan untuk membantu agensi mengatasi masalah dan kelemahan sistem pentadbiran sedia ada yang boleh membuka ruang dan peluang kepada amalan tidak sihat seperti penyelewengan dan rasuah.

Antara pengisian program adalah sesi ceramah dan taklimat daripada pihak Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dan pihak SPRM berkaitan salah laku integriti dan rasuah di kalangan penjawat awam.

Dalam program sama, pihak SPRM telah menyampaikan Modul Antirasuah dengan penglibatan 30 peserta yang terdiri daripada  kakitangan SRB.

Turut hadir, Penolong Pesuruhjaya Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Sarawak, Mardiana Han, Ketua Bahagian Pengurusan Korporat MOTS, Elvis Didit, Penolong Kontroller SRB, Sam Budi dan warga kerja MOTS serta SRB. -EDISI UKAS