SIMANGGANG: Kejohanan ‘Boat Racing’ Regata Benak Batang Lupar 2024 berlangsung dengan meriah di Tebingan Sri Aman, menyaksikan persaingan sengit daripada pelbagai pasukan yang bertanding.
Sebanyak 28 pasukan mengambil bahagian dalam acara 8 kuasa kuda (hp) ‘Pump Ski Boat’ (Berikan), manakala 10 pasukan masing-masing bersaing dalam acara bawah 18hp ‘Long Boat’ (Bangkut) dan Lumbak Benak.
Acara ini menjadi salah satu tarikan utama di kawasan Sri Aman, menarik ratusan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan yang penuh aksi serta menikmati suasana meriah di tepian Sungai Batang Lupar.
Dalam acara akhir 8hp ‘Pump Ski Boat’ (Berikan), NGRT Bungai Terong berjaya menduduki tempat pertama manakala gelaran naib johan menjadi milik NGRT Next Generation Rembai dan tempat ketiga diduduki oleh Lizma Café 1.
Manakala dalam acara akhir bawah 18hp Long Boat (Bangkut), gelaran johan telah dimenangi oleh SRT, manakalah di kedudukan kedua dan ketiga masing-masing diduduki oleh Jo Racing Team dan Jutanam.
Lang Terbang telah dinobatkan sebagai johan dalam acara akhir Lumba Benak manakala gelaran naib johan dirangkul oleh NGRT Pukat Melompat Tiong Terbang dan di tempat ketiga adalah Cahaya Kilat Ujan Panan.
Turut hadir menyaksikan acara berkenaan ialah Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Pegawai Daerah Lingga merangkap Pengerusi Regatta Benak Batang Lupar 2024 Frank Lani. -EDISI UKAS