Medan Selera & Pasar Tani Akan Dibina Di Pulau Bruit

Disiarkan pada 29 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


PULAU BRUIT: Lawatan kerja Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol ke kawasannya di Semop membawa khabar gembira apabila beliau mengumumkan kelulusan permohonan pembinaan sebuah Medan Selera dan Pasar Tani di Pulau Bruit oleh Kerajaan Sarawak.

Jelasnya, projek bernilai RM6.5 juta ini dijangka meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat dengan menyediakan ruang perniagaan yang lebih teratur dan selesa.

"Projek pembangunan ini diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Pulau Bruit," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyerahkan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di sekitar Pulau Bruit pada Khamis.

Dana MRP bernilai RM636,000 telah diserahkan kepada tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan tersebut.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, Dewan Masyarakat Kampung Betanak, dan Dewan Masyarakat Kampung Semop.

Katanya, dana yang disalurkan ini bertujuan membiayai pelbagai projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan masyarakat setempat.

Berucap ringkas, beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan komitmen untuk memastikan pembangunan kawasan luar bandar terus diberi perhatian.

“Dana yang disalurkan ini adalah hasil keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu memperbaiki kemudahan asas serta menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk masyarakat di Pulau Bruit,” katanya lagi.

Jelas beliau, usaha berterusan Kerajaan Sarawak bertujuan membangunkan kawasan luar bandar agar setanding dengan kawasan bandar.

Lawatan kerja pada hari ini merupakan sebahagian daripada jelajah selama tiga hari bermula Rabu yang melibatkan peruntukan MRP lebih RM1 juta. - EDISI UKAS