Affin Bank Dilantik Urus Endowment Fund Sarawak 2.0 Mulai 2025

Disiarkan pada 29 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak melantik Affin Bank Berhad untuk mengurus Endowment Fund Sarawak (EFS) 2.0 bagi tempoh lima tahun, bermula 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2029.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah memaklumkan bahawa surat pelantikan telah dikeluarkan pada 27 November 2024.

Katanya, Affin Bank kini diarahkan untuk mengemukakan deraf perjanjian dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada kementeriannya selewat-lewatnya 9 Disember 2024.

“Kita telah menetapkan bahawa pengurusan ini akan bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2029. Majlis rasmi bagi menandatangani dokumen akan diadakan kelak,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Endowment Fund Sarawak Bil. 2/2024 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, pada Khamis.

Tambah Dato Sri Fatimah, sejak pelaksanaan EFS pada 1 Januari 2019 hingga 31 Oktober 2024, sebanyak 124,762 anak Sarawak telah memiliki akaun EFS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM124.7 juta.

EFS merupakan inisiatif kerajaan Sarawak untuk membantu pembangunan masa depan kanak-kanak Sarawak, dengan membuka akaun endowmen bernilai RM1,000 bagi setiap bayi Sarawak yang lahir.-EDISI UKAS