Borneo Highland Glamping Festival 2.0 Kembali, Himpun 250 Peserta

Posted on 29 Nov 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Borneo Highland Glamping Festival 2.0 bersiap sedia mencuri tumpuan sebagai salah satu acara luar terbesar tahun ini, dengan pelbagai aktiviti menarik yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Disember depan.

Acara ini dijangka menghimpunkan 250 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, serta China yang akan menjadikan festival ini platform unik untuk memupuk gaya hidup sihat dan memperkukuhkan hubungan komuniti.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata festival ini menawarkan pengalaman berbeza yang membawa masyarakat lebih dekat dengan alam semula jadi sambil menggalakkan rangkaian sosial dalam suasana santai.

“Acara ini sangat sihat dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat, terutama golongan muda, kerana ia memberikan peluang untuk menikmati aktiviti luar yang menyeronokkan berbanding hanya bersantai di kompleks beli-belah.

“Sambutan terhadap acara glamping sebelum ini sangat positif dan saya yakin festival kali ini akan mencatatkan kejayaan yang sama,” katanya semasa sidang media di Baitulmakmur II, Kuching, pada Khamis.

Dato Sri Abdul Karim berkata festival ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan elemen budaya tempatan kepada peserta antarabangsa di samping menarik minat pengunjung tempatan untuk meneroka kawasan pergunungan yang indah.

Selain itu, jelasnya pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan konsert mini, pertunjukan api dan pelbagai gerai makanan tempatan yang pasti menggamit selera.

“Festival ini tidak hanya terhad kepada aktiviti berkhemah, tetapi turut menampilkan pelbagai acara menarik seperti bengkel makanan tradisional dan kraf tangan, yoga dan meditasi, memanah tradisional, berkayak serta aktiviti kecergasan seperti zumba pagi,”ujar beliau.

Beliau turut memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan telah diuruskan dengan baik, menjadikan festival ini mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Tambahnya, ini bukan sekadar acara rekreasi, tetapi satu peluang untuk mencipta kenangan bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan. -EDISI UKAS