Pembinaan SMK Balingian Dikategorikan Sebagai Projek 'Sakit’

Disiarkan pada 28 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


BALINGIAN: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian telah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ setelah kemajuan kerja hanya mencapai 20 peratus berbanding jadual asal sebanyak 70 peratus.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo menjelaskan, masalah teknikal dan keadaan kawasan pembinaan menjadi punca utama kelewatan tersebut.

“Pada tahun 2022, kontraktor menghadapi pelbagai kesulitan, termasuk reka bentuk sekolah yang tidak sesuai dengan keadaan tanah di kawasan ini,” katanya selepas melawat tapak projek SMK Balingian pada Rabu.

Ujarnya, projek yang ditunggu-tunggu oleh penduduk sejak tahun 2013 ini memerlukan penyelarasan segera dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Katanya, sekolah mungkin sukar digunakan sekiranya projek ini diteruskan mengikut reka bentuk asal disebabkan kawasan pembinaannya yang rendah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee melahirkan rasa sedih melihat keadaan projek ini yang amat diperlukan oleh penduduk.

“Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi telah bersetuju untuk segera berbincang dengan pihak KPM bagi mencari penyelesaian.

“Sekolah ini penting untuk pelajar di kawasan ini yang kini terpaksa ke Mukah yang mengganggu prestasi mereka,” katanya.

Abdul Yakub pula menyatakan kekecewaan terhadap kelewatan yang menyebabkan projek ini gagal dilaksanakan seperti dirancang namun memahami cabaran teknikal yang dihadapi.

“Kami komited untuk mempercepatkan pembinaan sekolah ini melalui perbincangan dengan KPM,” katanya.

Untuk makluman, projek pembinaan SMK Balingian merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-10 yang diluluskan sekitar tahun 2013 dan 2014. -EDISI UKAS