KUCHING: Pembinaan Jambatan Rambungan yang dikategorikan projek ‘sakit’ akan disambung semula oleh kontraktor penyelamat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kontraktor Titanium Project Management telah dilantik berkuatkuasa pada 19 November lepas dengan 43 peratus akan disiapkan oleh kontraktor tersebut.
Menurutnya, projek ini dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi iaitu pada 18 Mei 2027 namun dijangka siap lebih awal.
"Kalau diikutkan kontrak yang diberikan memang diletakkan 30 bulan, tetapi mereka telah mengesyorkan yang mereka mampu siapkan dalam masa dua tahun, kalau boleh dalam masa 18 bulan.
"Hal ini kerana projek ini telah lama 'sakit' di mana penduduk dan wakil rakyat setempat telah lama melahirkan keresahan terhadap siapnya projek ini, sedangkan projek besar seperti Jambatan Batang Lupar berjalan lancar," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan beliau ke tapak projek tersebut di sini pada Khamis.
Sementara itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu turut melawat projek Jambatan Sejingkat yang memakan kos RM365.7 juta.
Ketika ditemui, Datuk Amar Douglas memberitahu, projek ini dijangka siap pada Disember 2025 biarpun suku pertama tahun 2026 merupakan anggaran akhir projek tersebut siap.
Jelasnya, projek tersebut kini hanya mempunyai pertukaran reka bentuk menyebabkan sedikit kelewatan terutamanya untuk menyiapkan 'pylon' jambatan tersebut.
"Namun kita telah bersetuju (dengan pihak kontraktor) untuk mengatasi masalah yang ada. Kita menyasarkan Disember 2025 akan siap sepenuhnya.
"Saya juga akan turun padang lagi pada Januari 2025 untuk melihat kemajuan fizikal bagi 'pylon' tersebut yang difahamkan ada 37 meter lagi untuk dipasang.
"Penghujung Februari, saya akan datang lagi ke sini untuk melihat 'pylon' tersebut siap sepenuhnya dan saya akan berdiri di puncak 'pylon' tersebut," jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo. -EDISI UKAS