KUCHING: Pembinaan projek jalan dari Matang Jaya ke Jalan Matang dan Jalan Batu Kawa-Matang kini berjalan lancar dengan mencapai 13 peratus lebih awal daripada jadual asal.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap, jalan raya sepanjang 4.4 kilometer (km) itu dapat disiapkan secepat mungkin memandangkan kawasan tersebut sentiasa sesak dan sensitif.
Jelasnya, sebahagian jalan raya baharu iaitu sepanjang 2 km itu akan disiapkan dalam tempoh satu bulan lagi dan akan digunakan bagi memberi ruang untuk menaik taraf jalan raya yang lama.
"Tidak lama lagi mereka akan menaik taraf kawasan ini, dan apabila ini dinaik taraf dalam masa sebulan di mana jalan ini akan digunakan agar mereka boleh memperbaiki jalan sedia ada tersebut.
"Jadi, itu strategi mereka, mereka mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan sumber yang mencukupi. Kami yakin mereka mampu melaksanakannya.
"Cuma kita doakan musim monsun jangan datang terlalu cepat dan hujan tidak terlalu lebat," katanya ketika ditemui media semasa melakukan lawatan ke tapak projek tersebut pada Khamis.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu berharap angka persiapan ini meningkat kepada 20 hingga 30 peratus nanti agar disiapkan segera disebabkan kawasan yang padat dan sensitif.
Selain itu jelasnya, pengalihan utiliti juga akan dilaksanakan yang akan memakan kos sebanyak RM20 juta.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menjelaskan, sebahagian Jalan Matang Baru Fasa 2 dijangka dapat diakses pada bulan Disember sepanjang 2 km sebelum jalan sedia ada dinaik taraf.
Ujarnya, setelah siap naik taraf kedua-dua jalan tersebut ujarnya, prosedur yang sama akan dijalankan bagi lebihan jalan sepanjang 2.4 km.
Difahamkan, projek naik taraf jalan Matang akan siap sepenuhnya pada Julai 2025.
Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo. -EDISI UKAS