Para SUKMA XXI Sarawak 2024: 1,528 Atlet Bakal Berentap

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEREMBAN: Seramai 1,528 atlet termasuk 799 pegawai pasukan dari seluruh negar1 bakal berentap pada temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 dijadual berlangsung dari 20 hingga 28 September depan.
 
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah edisi kali ini akan mempertandingkan sebanyak 10 sukan dengan 334 acara.
 
Sukan-sukan tersebut adalah para olahraga, para renang, para badminton, para ping pong, para tenpin boling, para boccia, para lawn bowls,para powerlifting, para memanah dan para catur.
 
“13 negeri telah menyatakan penyertaan mereka pada Para SUKMA kali ini termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
 
“Semua sukan akan dilangsungkan di Kuching kerana kita nak mengurangkan pergerakan atlet OKU ini,” katanya dalam sidang media semasa kunjungan delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di Bilik Gerakan, Wisma Negeri, Seremban pada Khamis.
 
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pambangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim RahmanHamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta delegasi Sarawak yang lain.
 
Dalam pada itu katanya, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah mengadakan kursus khas untuk para pengkelas atlet OKU dari 19 hingga 24 April di Kuala Lumpur.
 
“Ini adalah sebagai persiapan kepada pegawai yang akan menjadi ‘classifiers’ di peringkat negeri masing-masing semua semua akur mengenai garis panduan.
 
“Kita minta agar klasifikasi dilakukan di negeri masing-masing. Dengan kursus diberikan, kita amat berharap classifiers kita ini mempunyai kemahiran untuk membuat klasifikasi dengan betul,” katanya. - EDISI UKAS