Dadah Bernilai RM35 Juta Dirampas Di Sarawak

Disiarkan pada 28 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak 552.49 kilogram dadah mampat dan 42,894 pil terlarang berjaya dirampas sepanjang operasi penguatkuasaan Januari hingga Oktober 2024 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Kastam Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik rampasan ini dianggarkan bernilai RM35 juta.

Tambah beliau, tindakan tegas ini mampu menyekat sehingga 199,471 kali penggunaan dadah serta menyelamatkan kira-kira 24,933 individu dalam tempoh sebulan.

“Ini sangat penting bagi agensi penguatkuasaan kita serta rampasan yang telah dilakukan. Dengan ini, kita dapat mengurangkan dari segi bekalan, permintaan, rawatan, dan advokasi yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Sehenti (One-Stop Committee) untuk menangani isu dadah dan substans,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Mesyuarat One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah Dan Substance Bil. 2/2024 di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut mendedahkan kedudukan Sarawak dalam usaha membanteras dadah berada di tahap yang baik.

“Ahli jawatankuasa dan JSJN telah melaporkan bahawa dari segi ranking, Sarawak berada di kedudukan nombor 11 daripada 40,” kata beliau.-EDISI UKAS