Sarawak Berpotensi Tingkat Keupayaan Industri Pertahanan Negara

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
 

KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi 'pemain' industri pertahanan negara berdasarkan kemajuan yang dicapai masa kini.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato Mohd Sofi Md Lepi berkata, potensi itu sangat besar kerana Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut berpandangan luas dalam memperkasakan pertahanan di Sarawak selain memajukan ekonomi negeri ini. 

“Kita rasa sangat bertuah kerana melalui Pakej Pertahanan Sarawak yang ditawarkan oleh Premier Sarawak, ia membantu kita untuk mendapatkan kelengkapan dengan menggunakan teknologi sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak di sini pada Jumaat. 

Jelasnya lagi, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menzahirkan hasrat supaya sektor pertahanan di Sarawak ditingkatkan dan menyumbang kepada pertahanan negara. 

“Mengikut hasrat Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi tadi, dengan perkembangan kita di Bintulu serta perkembangan kita di Sarawak dari segi ekonomi hidrogen dan sebagainya, saya berkeyakinan kerajaan Sarawak akan mempunyai satu rancangan yang besar untuk menyumbang kepada industri pertahanan negara,” ujarnya. 

Tambahnya, kunjungan tersebut turut bertujuan bagi menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi hadir dalam Pameran Pertahanan dan Keselamatan Asia (DSA) Edisi Ke-18 yang akan berlangsung pada 6 hingga 9 Mei 2024 di Pusat Perdagangan Dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

“Dalam edisi kali ini, pihak penganjur menjangkakan penyertaan lebih daripada 50,000 pelawat dari lebih 70 buah negara melibatkan 1,200 pempamer. 

“Selain itu, dijangkakan sebanyak 400 delegasi luar dari 45 buah negara yang merangkumi menteri, kepimpinan tertinggi angkatan tentera, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan dari dalam dan luar negara akan turut hadir,” ujarnya. 

DSA merupakan acara dwitahunan terkemuka dalam industri pertahanan dan keselamatan di rantau asia.

Ia menjadi platform penting untuk pemain industri dari seluruh dunia berkumpul, berinteraksi dan berkongsi pandangan dalam memperkasakan industri pertahanan global serta menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Seterusnya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menerima kunjungan daripada rombongan sejarahwan dari Sarawak dan Kelantan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Semerak Jajahan Pasir Putih Kelantan, Dr Mustafa Ahmad.-EDISI UKAS