Klinik Kesihatan Siburan Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 28 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBURAN: Penduduk di kawasan Siburan menerima berita gembira apabila Klinik Kesihatan Siburan yang baharu telah siap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu dalam ucapannya memberitahu, pembukaan Klinik Kesihatan Siburan adalah langkah penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang akan memanfaatkan seramai 61,975 orang penduduk di kawasan Siburan dan sekitarnya.

“Klinik Kesihatan Siburan yang baharu ini berfungsi sebagai pusat kesihatan utama, memberikan kemudahan rawatan yang lebih efektif, pantas dan berkualiti.

“Klinik ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan kesihatan terbaik,” ujar beliau.

Penambahbaikan ini turut menggantikan Klinik Kesihatan Siburan lama yang telah beroperasi sejak 1964 dengan menawarkan perkhidmatan lebih luas, termasuk rawatan pesakit luar, perkhidmatan kesihatan ibu dan anak serta sokongan kepada klinik-klinik desa di kawasan sekitar.

Dengan siapnya klinik ini, beliau berharap agar kemudahan kesihatan di kawasan ini terus diperkasakan untuk memenuhi keperluan masyarakat. -EDISI UKAS