SERIAN: Sebanyak 205 lot bagi Kampung Tradisi di Kampung Tangga Plaman akan disukat oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Serian bermula pada Disember ini nanti.
JTS Bahagian Serian memberitahu, kaedah pengukuran tanah ini nanti akan mengadaptasikan kaedah Projek Dokumentasi Tanah yang telah diperkenalkan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).
Kaedah ini telah dibuktikan lebih mudah malah mempercepatkan proses kerja penyukatan lot kediaman dan lot pertanian serta mampu menyelesaikan isu sempadan dan hak milik tanah di antara ahli keluarga dan di antara jiran.
JTS Bahagian Serian menjelaskan demikian semasa Sesi Dialog Lapangan Pengukuran Lot Kampung Tradisi di Kampung Tangga Plaman Serian pada Rabu.
Menjelas lanjut, JTS Bahagian Serian memaklumkan bahawa kerja-kerja pengukuran ini akan siap sepenuhnya menjelang 30 Januari tahun hadapan.
Dalam sesi yang sama, JTS Bahagian Serian juga memohon semua penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Tangga Plaman, Kampung Bunga Raya dan Kampung Siantan supaya memberi kerjasama dan sokongan padu agar proses pengukuran itu berjalan dengan lancar nanti.
Selesai kerja pengukuran nanti, pemilik tanah akan mendapat geran tanah dibawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) seumur hidup tanpa berbayar. -EDISI UKAS