RECODA Usaha Tingkat Pembangunan Sosio Ekonomi Penduduk Luar Bandar

Disiarkan pada 28 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) berusaha meningkatkan pembangunan sosio ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.

Dalam usaha ini, RECODA telah mengadakan mesyuarat di Pejabat Residen Sibu bersama wakil-wakil Pejabat Daerah Sibu yang diketuai oleh Pengurus Unit Sosio-Ekonomi RECODA, Aloysius Claudius Rumpu pada Rabu.

Perbincangan itu tertumpu kepada pelaksanaan Program Basmi Miskin Tegar (BMT) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dirangka untuk membasmi kemiskinan tegar di Daerah Sibu.

Mesyuarat tersebut membincangkan isu-isu utama, termasuk pengenalpastian kumpulan sasar yang terdedah, pelaksanaan intervensi yang strategik dan pengoptimuman program-program sedia ada.

Penekanan diberikan kepada peranan penting penglibatan komuniti serta pemerkasaan mereka, dengan menyedari bahawa penyelesaian mampan memerlukan kerjasama erat semua pihak berkepentingan tempatan.

Selepas itu, pihak RECODA turut melaksanakan lawatan ke projek sosioekonomi COMMUNITY@SCORE di Daerah Song di bawah seliaan Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Kapit.

Lawatan tersebut mengetengahkan tiga inisiatif yang memberi impak besar iaitu projek pemprosesan kerepek pisang oleh Ting Ai Bena, projek pemprosesan jus tebu oleh Manie Ngelambai dan projek pemprosesan karipap sejuk beku oleh Noziema Low Mei Fong.

Inisiatif-inisiatif berkenaan mencerminkan dedikasi dan inovasi usahawan tempatan dalam meningkatkan taraf hidup komuniti melalui pertanian nilai tambah.

Melalui pelaksanaan program ini, keluarga yang terkesan oleh kemiskinan tegar diberi peluang untuk membina masa depan yang lebih baik dan makmur.

Ia juga mampu membina sebuah komuniti yang inklusif di mana setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya tanpa ada yang tercicir. -EDISI UKAS