Royston Pantau Persiapan Venue Sukan Bola sepak SUKMA XXI

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Sarawak (ADUN) Tellian Royston Valentine telah membuat lawatan pemantauan kerja-kerja naik taraf Padang Mesra Mukah di bawah peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tellian 2023 baru-baru ini.

Menurutnya, Projek Naiktaraf Padang Mesra MDDM Mukah telah diperuntukkan sebanyak RM200,000 di bawah RTP DUN Tellian bagi tahun 2023 yang merangkumi kerja-kerja membina pagar dan menyediakan bangku berbumbung pemain simpanan. 

"Kita harus merasa bangga dan satu penghormatan bagi warga Mukah kerana menjadi venue SUKMA XXI yang akan berlangsung pada bulan Ogos ini.

“Diharap kerja-kerja naik taraf dan penyediaan pelbagai kemudahan di padang ini berjalan lancar dan siap ikut jadual. 

"Projek ini adalah usaha kita dalam memastikan prasarana kita kelak berkualiti dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh teknikal kejohanan,” ujar beliau. 

Katanya, Padang Mesra dan Stadium Mukah akan menjadi lokasi untuk pertandingan bola sepak SUKMA XXI dan perlawanan akhir di Stadium Mukah.

Antara sukan lain di Mukah adalah bola jaring dan judo masing-masing di venue pertandingan di Politeknik dan UiTM Cawangan Mukah. 

Turut hadir Pengurus Kejohanan Bolasepak Lelaki merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah ASP Khairul Anuar Adeni, Pegawai Pusat Khidmat P.213 Mukah Almahakim Norshidi serta Penolong Jurutera Majlis Daerah Dalat dan Mukah Mohd Tamrim Osman. -EDISI UKAS