Dato' Sri Huang Lulus Projek Mesra Rakyat Bernilai RM108,700

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM108,700 di dua rumah panjang telah siap sepenuhnya. 

Ia diluluskan di bawah agensi pelaksana Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Betong.

Projek di rumah panjang tersebut merangkumi pembekalan bahan binaan kepada rumah panjang dalam meningkatkan prasarana penduduk rumah panjang.

Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato' Sri Huang Tiong Sii telah menghadiri Majlis Pengesahan Siap Kerja PMR Tahun 2023 dianjurkan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak baru-baru ini di Rumah Keli dan Rumah Gandom pada Rabu.

Menurut Dato' Sri Huang, beliau ingin memastikan masyarakat luar bandar menikmati kehidupan yang selesa sama seperti penduduk di bandar. 

Beliau akan berusaha membantu menaiktaraf dan memberikan peruntukan kepada rumah panjang yang lain di kawasan Sarikei.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Keli dan Tuai Rumah Gandom yang mewakili para penduduk merakamkan penghargaan kepada  Dato‘ Sri Huang yang telah menunaikan perancangan projek PMR di sini. 

Beliau menyatakan, kerja-kerja adalah memuaskan dan dengan siapnya projek ini, ianya telah menambahbaik infrastruktur komuniti setempat. -EDISI UKAS