Kukuhkan Hubungan Organisasi Di Sekolah

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Warga sekolah termasuk ibu bapa dan pelajar diminta untuk mengukuhkan hubungan antara organisasi mereka di peringkat sekolah dalam usaha untuk mengecapi kecemerlangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, keutuhan hubungan organisasi yang sedia ada perlu dikekalkan malah dipertingkatkan tanpa mengira penerajunya.

Menurut beliau, perkara ini perlu dibuat berasaskan rasa tanggungjawab mereka dalam merealisasikan visi dan misi sekolah masing-masing dalam mencapai kecemerlangan baik dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Seri Gamang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman pada Khamis.

Dalam majlis tersebut, seramai kira-kira 300 orang pelajar termasuk ibu bapa telah hadir memeriahkan lagi acara yang penuh bermakna khususnya kepada pelajar yang diraikan.

Dayang Noorazah dalam pada itu telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada  Pusat Tingkatan 6 SMK Sri Aman.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhyiddin, Pengetua SMK Sri Aman Roslan Mohamad Saini, Penolong Kanan Tingkatan 6 Hamdan Juli dan wakil Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Aman  Mostapha Tugo. -EDISI UKAS