Sarawak Akan Laksana Ujian Pentaksiran Standard Bermula 2025

Disiarkan pada 27 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Sarawak bakal melaksanakan Ujian Pentaksiran Standard yang memberi tumpuan kepada tiga subjek utama, iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bermula tahun hadapan.

Penilaian ini akan dikendalikan oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada pihak Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Swinburne University, Cambridge University di bawah Cambridge Press and Assessment (CUPA) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyatakan bahawa, jawatankuasa ini akan merangka dan mencadangkan strategi pelaksanaan penilaian berdasarkan piawaian antarabangsa.

“Mereka akan menyediakan soalan peperiksaan yang akan diselaraskan dengan format peperiksaan Malaysia dan penilaian kendiri yang sedang digunakan di sekolah,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan 2024 International Conference on Education Research and Innovation (ICERI) di sini pada Rabu.

Dato Sri Roland Sagah menambah, ujian tersebut penting sebagai mekanisme untuk mengukur tahap pendidikan pelajar secara awal.

“Kami di Sarawak percaya bahawa bentuk penilaian seperti ini diperlukan. Tanpa ujian, sukar untuk menentukan tahap pendidikan anak-anak kita. Tidak boleh hanya menunggu sehingga Tingkatan 5 untuk SPM, kerana ketika itu sudah terlambat.

“Lebih awal kita dapat menilai, lebih mudah untuk merancang langkah seterusnya,” katanya.

Tambah beliau, penilaian ini juga membantu ibu bapa memahami prestasi anak-anak mereka serta menentukan kursus atau bidang yang sesuai untuk masa depan.

Selain itu, inisiatif ini tegasnya selari dengan usaha Sarawak untuk meningkatkan kemasukan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada 60 peratus seperti yang digariskan dalam agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Jelasnya, penilaian ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan modal insan dan memastikan Sarawak terus melahirkan pelajar yang kompeten dalam bidang STEM.-EDISI UKAS