Tengku Permaisuri Selangor Berkenan Mencemar Duli Ke BCG2024

Disiarkan pada 27 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Perasmian Ekspo Kraf Borneo dan Persidangan Antarabangsa 2024 (BCG2024) di Tebingan Kuching pada Rabu.

Majlis perasmian BCG2024 telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Keberangkatan tiba Baginda ke majlis berkenaan telah diiringi oleh isteri kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar.

Kira-kira 250 pempamer pembuat kraf yang terdiri daripada negara luar menyertainya termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan banyak lagi.

Pada sebelah petang nanti, Baginda dijadual mengadakan lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Manakala pada Khamis, Baginda dijadualkan berangkat ke Pusat Vokasional Industri (PVI) Songket Sarapride bertempat di Penjara Puncak Borneo sebelum meneruskan program ke Kek Lapis Warisan Sdn Bhd.

Baginda kemudiannya akan mengadakan lawatan persendirian ke Ekspo Antarabangsa Kraf Borneo, manakala pada sebelah malam, Baginda berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Makan Malam BCG2024. -EDISI UKAS