Premier Sarawak Dijangka Sempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Baharu Di Pusat Servis Gunung Ngeli

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek bina baharu jalan di Pusat Servis Gunung Ngeli pada 1 Mei depan.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris mengadakan lawatan awal ke tapak projek tersebut bersama Residen Bahagian Kota Samarahan Mohamad Irwan Buhari Bujang dan Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin.

Lawatan tapak ini adalah bertujuan bagi meninjau persiapan di lokasi majlis pecah tanah tersebut.

Premier Sarawak turut dijangka menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Simunjan bersama penduduk di kawasan tersebut pada hari sama. -EDISI UKAS