KOTA SAMARAHAN: Golongan muda mempunyai peranan penting dalam memerangi rasuah, terutama dengan kelebihan teknologi dan media tanpa batasan pada masa kini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya menekankan bahawa, golongan muda adalah aset penting dalam memastikan budaya rasuah dapat dihapuskan hingga ke akar umbi.
“Media masa kini yang tanpa batasan menawarkan peluang besar untuk menyebarkan kesedaran dan mengetengahkan isu rasuah dengan lebih pantas dan meluas.
“Anak muda yang celik teknologi mampu menjadi ejen perubahan melalui penggunaan teknologi moden dalam usaha membanteras rasuah,” katanya.
Beliau berucap demikian sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2024 Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Rabu.
Dalam ucapannya juga, beliau turut mengingatkan tentang situasi di Venezuela, yang menghadapi kebankrapan akibat rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya, kekayaan yang sepatutnya dikongsi bersama rakyat gagal membawa manfaat kerana ketirisan dan amalan korupsi.
Justeru Kerajaan Sarawak tegasnya, komited untuk memerangi rasuah secara menyeluruh, bermula dari akar umbi.
“Inisiatif dan program pendidikan anti-rasuah sedang giat dijalankan untuk memastikan generasi akan datang memahami kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan ekonomi,” jelasnya.
HARA 2024 Zon Sarawak diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya rasuah, dengan fokus utama terhadap pembabitan belia dalam membentuk budaya integriti dan ketelusan di peringkat negeri dan negara.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh, Timbalan Presiden PAKAR Malaysia Datuk Razim Mohd. Noor serta tetamu yang lain. - EDISI UKAS