MPKS Teroka Peluang Kerjasama Bersama China

Disiarkan pada 27 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mahu meneroka peluang kerjasama antara Kota Samarahan dan bandar-bandar di China di bawah Rangka Kerja Bandar Persahabatan.

 

Perkara itu menjadi fokus perbincangan di antara Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos semasa mengetuai delegasi MPKS melakukan kunjungan hormat terhadap Konsulat Jeneral Republik Rakyat China Kuching, Xing Weiping di pejabatnya di sini pada Selasa.

 

Dengan memfokuskan usaha mengukuhkan hubungan dua hala bersama China, perbincangan produktif bersama Konsulat Jeneral itu turut melibatkan perkembangan pesat Kota Samarahan dan potensi yang signifikan untuk perkongsian yang saling menguntungkan.

 

Dato Peter turut menggariskan transformasi Kota Samarahan yang berterusan untuk menjadi sebuah perbandaran yang berkembang maju dan bersemangat.

 

“MPKS komited untuk mengamalkan amalan terbaik antarabangsa dengan menanda aras terhadap kemajuan bandar-bandar China yang terkenal dengan kecemerlangan mereka dalam perancangan bandar, inisiatif hijau dan inovasi bandar pintar,” katanya selepas kunjungan tersebut.

 

Ujar beliau lagi, perbincangan itu juga meneroka penubuhan persahabatan dan kerjasama jangka panjang dalam beberapa bidang utama iaitu menerusi kerjasama ekonomi, memperkukuhkan pertukaran ekonomi dengan memupuk perkongsian antara perniagaan di Kota Samarahan dan bandar-bandar di China.

 

Jelasnya, kerjasama ini bertujuan untuk melibatkan dewan perdagangan tempatan dalam meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.

 

Dato Peter turut menzahirkan penghargaan terhadap Konsulat Jeneral atas keramahan pihak itu dan menekankan dedikasi MPKS untuk memupuk hubungan dengan China.

 

"Dengan mewujudkan bandar persahabatan dengan bandar-bandar di China, kita mewujudkan platform untuk pertumbuhan ekonomi, budaya dan pendidikan dalam memastikan masa depan yang lebih cerah untuk masyarakat kita,” katanya.

 

Turut menyertai lawatan itu adalah Timbalan Pengerusi MPKS Muttalib Julaihi, Setiausaha MPKS Gustian Durani dan Timbalan Setiausaha MPKS Lilian Liew. -EDISI UKAS