KUCHING: Kesedaran ibu bapa dalam permohonan kerakyatan anak tidak sah taraf, anak angkat serta anak jagaan kini semakin meningkat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya mendapati umur kanak-kanak yang memohon kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembangaan Persekutuan kini lebih muda berbanding sebelum ini yang mendaftarkan anak mereka ketika sudah berusia remaja.
“Kita mendapati umur kanak-kanak yang didaftarkan semakin muda. Kalau dulu ketika anak-anak berusia 19 tahun baru didaftarkan.
“Walaupun had umur untuk Perkara 15A ini 21 tahun, namun ianya akan digazet di Parlimen untuk 18 tahun ke bawah sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Jawatankuasa Taraf Kewarganegaraan di pejabatnya di sini pada Selasa.
Tambahnya, selain daripada faktor untuk memudahkan urusan persekolahan anak-anak, status kerakyatan ini juga membolehkan ibu bapa memohon pelbagai bantuan yang diberikan oleh Kerajaan terutamanya melibatkan anak Sarawak yang mempunyai indikator ‘K’ pada kad pengenalan anak-anak terbabit serta membantu mengurangkan kos pembiayaan dan pelbagai lagi.
Jelasnya, setakat November, pihaknya menerima sejumlah 36 permohonan melibatkan 24 anak tidak sah taraf, empat anak angkat dan lapan anak jagaan.-Edisi UKAS