MINTRED Laksana Pelbagai Inisiatif Perkukuh PKS dan Koperasi Sarawak

Disiarkan pada 26 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) akan terus melaksanakan pelbagai program dan langkah sokongan bagi membantu perniagaan tempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi telah menyumbang 39.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023, dengan RM29.7 bilion atau 17.9 peratus dalam ekonomi Sarawak pada tahun 2022.

Justeru tegasnya, PKS dan koperasi perlu bersedia berdepan cabaran berterusan yang menghalang pertumbuhan dan daya saing mereka.

“Kos perniagaan yang tinggi akibat kenaikan harga bahan mentah, buruh, dan sewa adalah antara halangan utama," katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais semasa Majlis Perasmian Seminar Cabaran Ekonomi: Peluang Kelestarian Perniagaan untuk Koperasi di sini pada Selasa.

Datuk Amar Awang Tengah menambah, cabaran tambahan termasuk kekurangan amalan kelestarian dalam aspek Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), kekurangan hubungan dengan syarikat besar serta kemajuan perlahan dalam pendigitalan operasi perniagaan.

“Kami akan terus melaksanakan program seperti Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), serta Program Keusahawanan Digital seperti Go Digital,” jelasnya.

Malah MINTRED katanya akan bekerjasama dengan TikTok Shop untuk inisiatif Sarawak Digital Mall, bersama-sama dengan latihan keusahawanan dan program promosi produk.

Jelas beliau, sejak tahun 2021, kementerian ini telah meluluskan bantuan kewangan bernilai RM193 juta, memanfaatkan 8,900 usahawan.

"Di samping itu, lebih 30,000 usahawan telah menerima sokongan bukan kewangan untuk memperkukuhkan perniagaan mereka melalui usaha pembinaan kapasiti dan promosi produk.

"Selain usaha kementerian, agensi persekutuan dan negeri termasuk Bank SME, Amanah Ikhtiar Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, MARA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, TEGAS, SDEC, dan STIDC turut menyumbang kepada pembangunan keusahawanan.

“Inisiatif-inisiatif ini telah membantu lebih 177,000 usahawan Sarawak dengan jumlah bantuan bernilai RM2.6 bilion,” tambahnya.

Turut hadir Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan yang mewakili Setiausaha Tetap MINTRED Connie Christopher Kesa, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Sarawak Norazlan Anuar dan tetamu lain.-EDISI UKAS