Tengku Permaisuri Selangor Berangkat Tiba Di Kuching

Disiarkan pada 26 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Selasa untuk memulakan lawatan selama empat hari di sini.

Keberangkatan tiba Baginda menggunakan pesawat khas kira-kira jam 11.50 pagi disambut oleh isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar.

Tengku Permaisuri Norashikin dijadual berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Perasmian Ekspo Kraf Borneo dan Persidangan Antarabangsa 2024 (BCG2024) pada Rabu bertempat di Waterfront Hotel.

Pada sebelah petang hari yang sama, Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Manakala pada Khamis, Baginda dijadualkan berangkat ke Pusat Vokasional Industri (PVI) Songket Sarapride bertempat di Penjara Puncak Borneo sebelum meneruskan program ke Kek Lapis Warisan Sdn Bhd.

Pada sebelah petang pula, agenda kunjungan Baginda ke Kuching diteruskan dengan lawatan persendirian ke Ekspo Antarabangsa Kraf Borneo manakala pada sebelah malam, Baginda berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Makan Malam BCG2024.

Tengku Permaisuri Norashikin dijadualkan berangkat pulang pada Jumaat jam 12.40 tengah hari. -EDISI UKAS