Sokong Anak-Anak Masuk TVET

Disiarkan pada 26 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KANOWIT: Ibu bapa diseru untuk menyokong anak-anak mereka masuk ke sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, ini bagi menyokong pembangunan yang dibawakan oleh Kerajaan Sarawak sebagai hab kemahiran dan teknologi.

"Oleh itu, marilah kita sama-sama menyokong anak-anak kita untuk mencapai potensi penuh mereka demi membina negeri Sarawak yang lebih makmur dan berdaya saing," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Hari Kerjaya dan Pendidikan Daerah Kanowit 2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yee Ting di sini pada Sabtu.

Tambahnya, pelbagai institusi seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) menyediakan program yang relevan untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

Hal ini terutamanya dengan pendidikan percuma untuk pelajarnya di universiti milik Sarawak pada tahun 2026.

Dalam pada itu, Anyi menambah, murid-murid harus mempersiapkan diri untuk merebut peluang dalam bidang yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak.

"Antaranya ialah sektor tenaga hijau seperti penjanaan tenaga solar dan hidrogen yang kini menjadi keutamaan kerajaan negeri," jelasnya. - EDISI UKAS