SARIKEI: Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) sama sekali tidak akan mengiktiraf mana-mana transaksi jual beli tanah lot Skim Pembesaran Kampung (SPK) ataupun Skim Penempatan Semula (SPS) yang telah diagihkan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan peruntukan sebanyak RM150,000 bagi setiap lot SPS dan SPK, meliputi pembangunan jalan berturap, parit konkrit, tembok lot serta bekalan air dan elektrik sejak 2018.
"Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi menjayakan skim-skim yang telah dirancang serta dilaksanakan di seluruh Sarawak.”
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Bukit Kinyau, Sarikei di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada Ahad.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak amat komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan lot-lot kediaman yang lebih teratur, selesa serta dilengkapi dengan kemudahan asas seperti jalan raya berturap, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu memberitahu, Kerajaan Sarawak juga turut mengekalkan kadar bayaran premium tanah yang rendah, tidak melebihi RM2,500 per lot, dengan pembayaran boleh dibuat secara ansuran tahunan selama 10 tahun.
"Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, terutamanya dalam menyediakan kediaman yang lebih baik untuk golongan berpendapatan rendah," ujarnya lagi.
Justeru, Datuk Len berharap semoga kemudahan-kemudahan ini dapat dirasai semua rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Pada majlis tersebut, seramai 53 orang penerima dari Kampung Bukit Kinyau telah menerima Lesen TOL masing-masing manakala baki 60 lot akan diagihkan pada bila-bila masa. -EDISI UKAS