ADUN Muara Tuang Serah Geran MRP Kepada Dua Persatuan

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KHAMIS, 25 APRIL 2024

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak dua persatuan menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun ini daripada Timbalan Speaker Dewan Undangan Sarawak, Dato' Idris Buang di sini pada Khamis.

Dato' Idris Buang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang berkata, geran itu merupakan bantuan daripada kerajaan untuk membantu pihak persatuan menjalankan aktiviti mereka.

“Terima kasih diucapkan kepada persatuan di negeri ini kerana membantu kerajaan menjalankan aktiviti yang memberi impak postif kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

“Saya harap mereka akan meneruskan kerja baik kepada rakyat dan negeri ini,” katanya.

Dua persatuan berkenaan adalah daripada Persatuan Alumni Polis Sarawak yang menerima cek bernilai RM100,000 dan Persatuan Peniaga Uptown Kota Samarahan pula menerima cek bernilai RM30,000.

Kedua-dua cek berkenaan diserahkan oleh Dato' Idris Buang dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Alumni Polis Sarawak, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan ahli jawatankuasa Persatuan Alumni Polis Sarawak dan Persatuan Peniaga Uptown Kota Samarahan.-EDISI UKAS