SERIAN: Seramai 115 pelajar cemerlang dari lima sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja menerima insentif pendidikan atas pencapaian cemerlang mereka dalam Tahun 2023.
Penyampaian insentif tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, kepada lima buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian, SMK Tarat, SMK Taee, SMK Tebakang dan SMK Gedong pada satu majlis yang berlangsung pada Sabtu.
Pelajar-pelajar cemerlang ini terdiri daripada 34 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 29 pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Manakala 28 pelajar cemerlang dalam peringkat asasi dan diploma, serta 24 pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda.
Setiap penerima insentif menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebagai tanda galakan untuk terus mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
Dalam ucapannya, John Ilus berkata Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan untuk memudahkan urusan pelajar Sarawak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau juga menyeru ibu bapa agar memberi peluang kepada anak-anak yang kurang berminat dalam bidang akademik untuk meneroka bidang teknikal yang turut menawarkan masa depan cerah dan peluang kerjaya yang luas.-EDISI UKAS